Saya mempunyai ketakutan selepas melahirkan anak saya yang ke-4.
Pertama kali ketakutan itu datang ketika saya sedang menghantar barang ke rumah pelanggan selepas habis pantang dikawasan perumahan yang padat. Saya terdengar suara anak dan bayi sedang menangis dan seperti si ibu sedang mengalami stress dan mula memukul anak-anaknya. Mendengar tangisan itu, lutut saya terasa lemah dan jantung saya berdegup laju kerana saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantu anak-anak itu.
Sejak itu, ketakutan itu akan timbul setiap kali saya mendengar bayi atau kanak-kanak menangis. Walaupun suara tangisan kanak-kanak tidak kuat, ketakutan saya akan di'trigger'. Setiap kali ketakutan itu datang, saya sangat pedih dihati dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
Ketakutan itu masih ada sekarang, dan walaupun tidak sekuat ketakutan yang lama, saya masih berusaha untuk sembuh daripada ketakutan ini. Malahan jika ada anak saya menangis, perasaan takut itu boleh mendebarkan saya.
Terdengar, terbaca atau ternampak hal-hal berkaitan pembuangan, penderaan kanak-kanak juga mampu membuatkan hati saya tidak senang dan rasa lemas.
Hal-hal ini benar-benar memberi kesan kepada hidup saya.
Ia adalah kesakitan batin. Mungkin ketakutan itu telah ada lama wujud didalam hidup saya cuma belum ada perkara yang 'trigger' ketakutan itu hinggalah pengalaman tadi. Boleh jadi juga, keadaan dan masa itu yang mewujudkan perasaan takut itu.
Saya percaya hal ini bukan berlaku kepada saya sahaja. Kalian diluar sana yang sedang membaca perkongsian ini juga mungkin ada ketakutan atau kebimbangan sendiri hasil daripada pengalaman hidup.
Ketakutan ini selalunya disebabkan pengalaman yang memberi kesan mendalam kepada kita. Malahan ada yang mengalami kemurungan dan membuat keputusan mengambil nyawa sendiri.
Memandangkan kita adalah manusia yang lemah dan penuh noda dosa, hanya Tuhan saja sandaran kita untuk sembuh dan menghadapi hari-hari yang mendatang. Kadangkala, Tuhan menggunakan insan lain untuk membantu dan menyokong kita.
Marilah kita memohon Tuhan kesembuhan dan kebebasan dari ketakutan kita.
Ya Yesus, Juruselamatku.
Sembuhkanlah segala ketakutanku dan bantu saya mengenalpasti puncanya agar aku dapat dibebaskan.
Anugerahkanlah damai sejahtera di dalam jiwaku dan jangan biarkan kuasa kegelapan mengambil kesempatan diatas kelemahanku.
Ubahlah ketakutan ini kepada kesyukuran atas perlindunganMu.
Biarlah Cahaya KasihMu menuntun langkahku setiap hari.
Dalam Nama Yesus,
Amen.
Saya menulis bukan kerana saya baik tetapi Tuhan itu baik dan dia memberi kesempatan kepada saya, seorang yang berdosa untuk melayani sesama melalui penulisan.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kalian.
Bersandarlah kepada Dia selalu.
-AG-
Comments
Post a Comment